Tuesday, March 2, 2010

MOTIVASI KECEMERLANGAN UPSR 2010 DUN DURIAN TUNGGAL


ALOR GAJAH 23 Jan 2010 : Seramai 180 orang terdiri pelajar tahun enam daripada tujuh buah sekolah SK, SJK (C) dan SJK (T) dalam kawasan DUN Durian Tunggal mengikuti Program Motivasi Kecemerlangan UPSR 2010 anjuran Majlis Permuafakatan Pendidikan (MPP) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Majlis yang julung kalinya ini berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Canselori UTeM, Kampus Induk Durian Tunggal, Melaka.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Ab. Wahab Ab. Latip.
Ab. Wahab yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri berkata kepimpinan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diharap dapat menjalin kerjasama dengan pihak sekolah dalam menganjurkan program pendidikan bagi memacu kecemerlangan pelajar dalam kawasan masing-masing bagi melahirkan modal insan yang seimbang.
Katanya lagi, modal insan yang ingin dilahirkan perlulah dilengkapi aspek jasmani, emosi, rohani, dan sahsiahnya selain memiliki kecemerlangan akademik.
Usaha ini hendaklah digembleng bersama bagi melahirkan insan yang dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor UTeM (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Muhamad Kadim Suaidi, Pegawai Pelajaran Daerah Alor Gajah, Kassim Muhammad, Pengerusi Majlis Permuafakatan Pendidikan, Sharif Ebok, Guru-guru Besar, Pengerusi PIBG dan Pengerusi JKKK dalam kawasan DUN Durian Tunggal.
Sementara itu, Ab. Wahab turut mengumumkan beberapa pendekatan strategik untuk guru dan murid dalam kawasan diwakilinya itu.
Antaranya, insentif kepada sekolah-sekolah yang berjaya meningkatkan prestasi dalam peperiksaan UPSR sebagai pendorong untuk lebih berdaya saing.
Hadiah sebanyak RM5000 diberikan kepada sekolah yang berjaya meningkatkan prestasi pencapaian 5A sebanyak 15% ke atas dan RM3000 bagi peningkatan 10% hingga 15%.
Seterusnya Program Lawatan Penanda Aras ke sekolah cemerlang untuk guru-guru tahun 6, penubuhan Bank Soalan peringkat DUN, program Kecemerlangan Kokurikulum bersama pihak UTeM untuk pelajar tahun lima bagi meningkatkan jati diri pelajar berkenaan.
Katanya lagi, segala perancangan yang dilakukan ini bertujuan berkongsi pengalamannya selama 24 tahun sebagai guru untuk bersama-sama dengan guru-guru bagi mencapai kecemerlangan pendidikan di dalam kawasannya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih yang kepada pihak UTeM atas kerjasama yang diberikan dalam usaha menjana kecemerlangan pendidikan di DUN ini.
“Jadilah pelajar yang akan memberikan kecemerlangan kepada sekolah dan usahlah hanya menjadi pelajar yang sering menimbulkan masalah kepada pihak sekolah dan juga keluarga,” katanya.
Terdahulu Kasim dalam ucapannya melahirkan ucapan tahniah kepada ADUN kawasan ini kerana membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan dalam kawasan Durian Tunggal kerana terdapat peningkatan pencapaian dalam peperiksaan UPSR 2009 yang lepas bagi DUN Durian Tunggal. Ini secara tidak langsung telah memberi impak kepada sistem pendidikan di negeri Melaka.
“Sokongan daripada guru, ibu bapa serta kepimpinan masyarakat diharap dapat meningkatkan kecemerlangan pendidikan di kawasan ini,” katanya.
Beliau mengharapkan anak didik yang diberi peluang mengikuti program ini dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan ini untuk terus mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR yang akan datang.
Sementara itu, pihak UTeM menerusi pegawai Bahagian Perhubungan Awam dan Korporat (BPAK), En. Ruzaiman Abdul Rahman turut menyampaikan taklimat kepada peserta berkaitan peluang pendidikan yang terdapat di sini serta mendedahkan kepada peserta program mengenai sejarah UTeM sejak ia mula ditubuhkan, aktiviti pelajar dan prasarana yang terdapat di UTeM sebagai dorongan dan motivasi kepada peserta.
Peserta program juga diberikan ceramah motivasi yang disampaikan oleh kaunselor daripada SM Teknik Datuk Seri Mohd Zin, Azizah Ahmad dengan tajuk ‘Menggapai Bintang’ dan kaunselor daripada Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar, Rohani Ismail dengan tajuk ‘Jati Diri Pelajar’.

Thursday, May 8, 2008

Kecemerlangan Pendidikan Jadi Keutamaan Pada 2010



YB Datuk Hj Aabdul Wahab Bin Hj Abd Latip, selaku ADUN Durian Tunggal juga selaku Timbalan Exco Jawatankuasa Negeri Pelajaran Sains & Telnologi dan Sumber Manusia berkata kerajaan sentiasa memberikan perhatian serius dari segi aspek pendidikan dengan sentiasa memberikan pengiktirafan kepada institusi yang terlibat termasuk sekolah dan para pelajar.

Menurutnya, kemudahan yang disediakan di negeri ini memang bertepatan dengan hasrat mahu menjadikan negeri ini sebagai pusat pendidikan serantau.

"Selain menyediakan kemudahan tempat belajar seperti sekolah-sekolah, kolej-kolej dan universiti-universiti, kerajaan juga memberikan bantuan kepada pelajar terbabit untuk mereka meneruskan pembelajaran ke satu tahap tertinggi demi keselesaan mereka.

"Kerajaan negeri sendiri ada menyediakan Tabung Amanah Pendidikan Negeri bagi membantu anak-anak Melaka yang cemerlang dan berhasrat melanjutkan pelajaran mereka.

Penganugerahan tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri ke atas kejayaan pelajar-pelajar yang telah memperolehi keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Kerajaan negeri juga telah menyediakan tiga anugerah bagi kategori sekolah cemerlang di peringkat menengah dan rendah yang berasaskan peningkatan terbaik mereka di dalam peperiksaan utama yang lalu.




YB. DATUK HJ AB. WAHAB BIN HJ. AB. LATIF

Kompleks Japerun DUN Durian Tunggal,
76100 Durian Tunggal,
Melaka.

Setiausaha : Encik Jaafar Bin Taib.
Penghulu : Tuan Haji Ismail Bin Ibrahim.

No Tel /Fax : 06 - 5531242

Sekiranya ada sebarang maklumat yang ingin di paparkan ke dalam blog ini, sila hantarkan ke email Parlimen seperti yang terpapar diatas. Kerjasama anda semua amat dihargai.